Sabtu, 25 Agustus 2018

بسم الله الرحمن الرحيم


   Bermulalah kalam bicara yang dahulu sunyi, kini kembali segar dengan memaparkan kisah hidup seorang insan yang bergelar manusia.

   Penulis kembali kedunia blog kerana ingin mencurahkan isi hati yang kosong untuk dinukilkan sebagai diari disuatu hari nanti agar sesiapa yang membacanya akan merasakan betapa benar dan tepat ajaran yang islam ajarkan untuk panduan seorang yang muslim yang beriman dengan hari Akhirat.

   Benarlah kata orang " Membina sesuatu bangunan sangat mudah berbanding menjaga sesebuah bangunan daripada musnah ataupun runtuh". Kata-kata ini menunjukkan bahawa sesuatu yang dibangunkan sangatlah mudah berbanding menjaganya, kerana untuk membina bangunan hanya perlu memikirkan bahan, bentuk dan dimana hendak didirikan.Ianya memerlukan masa yang singkat untuk menyiapkan sesebuah bangunan itu. Berbeza dengan menjaganya, sesebuah bangunan yang sudah siap dibina perlu dijaga dan diawasi agar tempoh jangka-hayat sesebuah bangunan itu berpanjangan dan boleh digunakan oleh beberapa generasi untuk menjalankan aktivit-aktiviti yang dirancang.

  Begitulah juga  jika kita terjemahkan bangunan dengan sebuah institusi kekeluargaan yang dibina diatas dunia ini. Menjaga kelestarian sesebuah keluarga itu sangat penting agar utuh dari ancaman seperti ribut badai yang menimpa dan anasir-anasir jahat yang lain.

  Keutuhan sebuah keluarga terletak kepada ketuanya iaitu suami. Sekiranya seorang suami itu seorang yang taat kepada Allah dan Rasul, nescaya acuan keluarga itu akan mengikut apa yang diperintah oleh agama. Jika seseorang suami itu ingkar akan suruh Allah, maka kita akan lihat kekacauan dalam sebuah keluarga itu. Betapa ramai dizaman moden ini, ahli keluarga tidak menunaikan solat, tidak menjaga pergaulan dengan sesama ahlinya, bergaduh dan pelbagai lagi. Ini akibat dari meninggalkan ajaran dan suruh agama.

  Oleh yang demikian, dalam kita mencari ketenangan dalam berumahtangga ini, wajiblah setiap insan yang ingin berkahwin melengkapkan ilmu agama dalam diri masing-masing agar ianya menjadi panduan hidupan melayari bahtera rumah tangga yang mencabar ini.

Sekian dari penulis.